Nuffnang Ads

Wednesday, October 13, 2010

Kata Orang, Kalau Kita Malu Jumpa Seseorang, Itu Bermakna Kita Sukakan Dia. Betulkah?

Assalamualaikum.

Apa khabar semua?
Alhamdulillah Syaza sihat hendaknya.
Syaza harap kamu juga begitu ya.

Kata orang, kalau kita malu jumpa seseorang (lelaki), maknanya kita sukakan dia. Betulkan penyataan ni? Bukti?
Menurut saya, kalau kita malu jumpa seseorang, kita akan tundukkan pandangan kita. Jadi, baguslah. Tidaklah mata ni liar melihat pemandangan yang kurang menyenangkan.

Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu merupakan sebahagian daripada Iman. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”


Dalam Islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita atau lelaki. Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita merupakan golongan yang lemah, mempunyai 9 nafsu yang pelbagai serta dikatakan paling ramai menghuni neraka.Tentang hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Aku melihat ke dalam syurga, maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah wanita.” (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas dan Imran serta selain kedua-duanya)

Imam Qurthubi rahimahullah menjelaskan hadis di atas dengan pernyataannya:

“Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka, kecenderungan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, dan berpaling dari akhirat kerana kurangnya akal mereka dan mudahnya mereka untuk tertipu dengan kesenangan-kesenangan dunia yang menyebabkan mereka lemah untuk beramal...”

Malu adalah lambang iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya” (Riwayat Bukhari)



Realiti kehidupan daripada pengalaman yang pernah dilihat bukan dirasai ya.

Contohnya, seorang wanita meminati seorang jejaka. Mula-mula, malu nak jumpa. Tengok muka pun tak nak.
Kalau TERnampak orang yang disukai, terus lari 100 meter, sedangkan sang lelaki tidak tahu apa-apa. Paling tidakpun, tundukkan pandangan ke tanah.
Jika sang Adam mengulum senyuman buatnya, walaupun hanya segaris senyuman paksa, berbunga-bunga hati sang Hawa. Tidur tak lena teringatkan segaris senyuman yang dari persepsinya senyuman setulus hatinya.

Sang Hawa sudah berani untuk mencoretkan sehelai kertas putih yang dihiasi dengan kata-kata kenalan dan cinta. Hati mula berpelangi. Warna-warni.
Jantung mula berdegup perlahan pada mulanya, rentak semakin laju setelah dengar khabar Adam sudah terima.

"Hawa, ni surat dari Adam."
Wajah hanya tersenyum tawar sahaja. Ucapan terima kasih diikuti di belakangnya. Surat dipegang kemas dan erat ke dada. Dipegang lembut sepenuh jiwa.
Perkataan demi perkataan dibaca dengan seikhlas hati. Senyuman diukir di pipi sepanjang masa walau tiada kata yang istimewa.
Mungkin perkataan ni sudah buat hati gembira tidak terkata.
"Boleh, saya sudi jadi kawan awak. Maaf lambat balas surat awak sebab saya ada banyak tugasan yang perlu disiapkan."

Pertemuan untuk kali pertama diatur tarikh dan masa. Hawa sudah bersiap sedia untuk berjumpa. Tudung yang dipakai, dilipat kemas. Tiada kedutan. Setiap saat, wajah dilihatkan pada cermin , sama ada di tandas, di kereta kaki lima atau kaca kedai makanan.
Pertemuan yang pertama, Hawa dan Adam membawa teman masing-masing. Lontaran suara hanya pada soalan yang tertentu sahaja. Perbualan tersangat biasa.
Jika ada gelak ketawa, Hawa menekup bibirnya. Malu katanya. Pandangan mata juga tidak sedalam-dalamnya. Hanya sekilas sahaja.
Nombor telefon bimbit bertukar tangan, hati Hawa amat gembira. Adam mengucapkan salam sebelum tinggalkan Hawa dan rakannya. Lambaian tangan dan senyuman Adam membuatkan Hawa tidak terkata. Teruja.

Malamnya, Hawa merasakan sesuatu yang tidak beres. Dia mengambil telefon bimbitnya dan menaipkan kata 'Selamat Malam' buat Adam. Diri tertunggu-tunggu pesanan ringkas dari Adam.
'Goodnight, dear ;) Sweet dream.' Hawa yang baru melelapkan mata, terus membuka matanya atas gegaran telefon bimbitnya. Hati berbunga mekar. Semekar-mekarnya. Bunga yang cukup dengan baja dan air. Telefon bimbit dipegang kemas sehingga Hawa tidur lena.

Pertemuan kali kedua, Hawa dan Adam berjalan bersama-sama. Teman masih bersama.
Gelak ketawa, senyum mesra, sudah berani dikeluarkan. Pandangan mata, sudah berani direnung. Perbualan, sudah punya kekuatan untuk mengenal latar belakang masing-masing.
Diri semakin selesa.
Kalau diri tidak ketemu, pesanan ringkas tidak lupa untuk diberikan.

Pertemuan ketiga, Adam dan Hawa sudah berani keluar berdua. Ingin mengenal hati budi masing-masing katanya.
Adam cuba menluahkan perasaannya yang mungkin hanya perasaan semata-mata. Dia rasa Hawalah wanita yang sesuai buatnya buat masa ini.
Tali kekasih perlahan-lahan disambungkan.
Hari demi hari, Adam dan Hawa semakin rapat. Tangan sudah disatukan. Genggam.



Tiada lagi kata malu untuk keluar berdua.
Tiada lagi ucapan malu berpegangan tangan, gelak ketawa, mahupun bertentangan mata.

***


Itu sahaja cerita yang Syaza boleh tuliskan.
Jadi, tidak salah jika kita malu melihat seseorang, tapi malu itu kena bertempat jugalah ya.

Kalau kita malu jumpa seseorang, tidak bermakna bahawa kita sukakan dia. ;)

Wassalam~

No comments:

Post a Comment