Ke mana sahaja Nenek pergi - ke pusat membeli-belah, ke taman permainan membawa cucu-cucu Nenek bermain, di pusat perhentian bas atau MRT - Nenek selalu ternampak remaja bermesra-mesra tanpa segan silu.
Isy… geram betul Nenek tengok budak-budak tu buat ‘muka sardin’ saja walaupun ramai yang menyaksikan mereka berpeluk-peluk dan kadangkala berciuman.
Anak buah Nenek, si Zizah, kelmarin datang ke rumah. Dia bercerita tentang perangai sepasang remaja Melayu, dengan uniform sekolah, bercumbu-cumbuan di perhatian bas sekitar 6.30 petang.
“Betul-betul tak malu Nek. Di perhentian bas tu ramai orang menunggu bas… maklumlah, masa orang pulang kerja… jadi ramai yang melihat mereka. Berpeluk, bercium dan tangan mereka meraba-raba antara satu dengan lain. Saya malu melihatnya,” kata Zizah.
Kadangkala Nenek pun serba salah… nak tegur atau tidak perbuatan mereka tu. Tetapi apabila teringat bagaimana seorang sahabat Nenek, Cik Jenab, dimalukan ketika dia menegur perbuatan sepasang remaja Melayu yang bercumbu-cumbuan di kolong blok rumah Cik Jenab, Nenek takut nak menegur mereka.
Cerita Cik Jenab: “Saya ni tegur mereka. Saya kata, ‘Nak… jangan buat begini. Awak berdua kan masih sekolah. Malu orang lain tengok. Awak berdua peluk-peluk dan cium-cium gini kan tak baik. Dosa tau…
“Awak nak tahu apa reaksi mereka? Si lelaki kata: “Apa mak cik kepoh-kepoh ni… kita orang bukan anak mak cik, bukan cucu mak cik. Sibuk saja orang tua ni.”
“Si perempuan pula menjeling saya dan kata: ‘Jagalah anak cucu sendiri. Entah-entah anak cucu mak cik buat lebih teruk daripada kita orang.’ Lepas tu, mereka terus meinggalkan tempat itu sambil meludah ke arah saya.”
Hmm… mendengar cerita sahabat Nenek itu, Nenek jadi takut nak menegur. Bagi Nenek, sudahlah mereka buat dosa, bersikap biadab pula pada orang tua. Dalam hal ini, Nenek rasa apa yang paling penting ialah bimbingan dan didikan agama.
Jika anak-anak mendapat bimbingan agama yang sempurna, sentiasa diingat agar tidak melakukan perbuatan keji itu, insya-Allah anak-anak akan sentiasa waspada dan tidak melakukan perbuatan keji dan berdosa itu.
Yang terpenting, orang tua sendiri mesti tunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak. Mudah-mudahan remaja kita akan menjadi anak-anak yang dilengkapi ilmu agama, tahu menjaga maruah keluarga, insya-Allah.
No comments:
Post a Comment