Thursday, August 4, 2011

2 dan 3 Ramadhan | Panas! Bukan Makan Sahaja, Nafsu Juga..

Assalamualaikum semua.

Apa khabar kalian?
Alhamdulillah, Syaza di sini sihat. Syaza harap kamu juga begitu.
Alhamdulillah masuk hari ni, sudah 4 hari kita berpuasa.
Bagaimana amalan anda?
Meningkat, berkurangan atau sama sahaja?
Tepuk dada tanya iman.

2 Ramadhan

Kedua-dua kelas kuliah dibatalkan.
Pensyarah mahu berbuka di rumah mungkin bersama suami dan anaknya. ;)

3 Ramadhan

Kelas pertama selepas cuti pertengahan semester.
Tiada apa yang istimewa, semuanya sama sahaja.
Cumanya tampak wajah gembira daripada kawan semua.

***


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Apabila datangnya bulan Ramadhan, pintu-pintu Syurga dibuka, manakala pintu-pintu Neraka ditutup, Syaitan dirantaikan."

[Riwayat Bukhari & Muslim]




Kelebihan Bulan Ramadhan

i) Perkataan Ramadhan berasal dari kata dasar 'ra-mim-dal', yang bererti "panas" atau "panas yang menyengat". Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud "menjadi panas atau sangat panas", atau diertikan juga sebagai "hampir membakar". Oleh itu makna Ramadhan boleh diringkaskan sebagai waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan tenggorok terasa haus disebabkan sedang berpuasa.

ii) Manakala perkataan puasa dalam bahasa Arab disebut 'Siyam' atau 'Soum' Kedua-duanya berasal dari kata dasar 'Sa-wa-ma', di mana secara etmologinya bererti menahan diri daripada segala yang dilarangnya serta mengikuti apa yang diperintahkan-Nya. Hal ini dapat diwujudkan dengan adanya perasaan takut (taqwa) kepada Allah S.W.T.

iii) Pada bulan Ramadhan umat Islam diwajibkan berpuasa kerana dengan puasalah nafsu akan terdidik. Bahkan dengan rahmat Allah S.W.T di bulan ini segala Syaitan dan Iblis dibelenggu dan Allah juga membuka pintu Syurga dan menutup pintu Neraka. Maka dalam situasi demikian kita hendaklah mengambil peluang untuk menguatkan jiwa dan rohani dengan mengerjakan amal ibadah seperti sembahyang tarawikh dan membaca al-Quran sesuai dengan kemuliaan dan kebesaran bulan tersebut.

iv) Selain itu Allah S.W.T juga memberikan dorongan untuk kita berusaha memperbanyakkan ibadah dengan melipat gandakan pahala pengamalnya serta disediakan satu malam yang lebih baik iaitu 'Lailatul Qadar' di mana kelebihannya menandingi 1000 bulan malam-malam biasa.

***


Kita berpuasa bukan menahan lapar dan dahaga sahaja, namun menahan segalanya terutamanya nafsu.
Kalau tengok makanan di Bazar Ramadhan, kalau boleh semua nak beli. Kononnya semua nampak sedap.
Tapi, bila dah berbuka, daripada 5 juadah yang dibeli, 2 sahaja yang disentuhnya. Itu namanya nafsu.

Bersederhanalah dalam melakukan sesuatu perkara.
Pilihlah mengikut keperluan sahaja.

Itu sahaja perkongsian untuk hari ini.
Wassalam~

No comments:

Post a Comment