Friday, February 27, 2009
BALKIS
Assalamualaikum....
Alhamdulillah,syukur ke hadrat Ilahi kerana dgn izinnya sy dpt menulis 'post' yg strusnya....
Pd 26.02.2009 (Khamis),sy telah dipilih oleh Allah dan sahabat2 sekolah sbgi pengerusi Badan Latihan Kepimpinan Islam (BALKIS) sekolah.
Allahuakbar!Sungguh besar amanah yg diberikan oleh Allah dan rakan2 kpd sy...
Sy nak ucapkan syukran jazilan kpd ust2,ustz2 dan guru2 yg selama ini membimbing dan memberikan ilmu yg tidak t'nilai kpd sy.Selain e2,kpd sahabat2 yg mencalonkn nama sy sbgi pengerusi BALKIS/AJK BALKIS dan memberi kepercayaan kpd sy utk meneruskan persatuan BALKIS ini.
Sy berharap semua pihak dpt membantu sy dlm meneruskan persatuan ini.InsyaAllah,sy akn buat yg terbaik utk semua,utk agama Islam dan kususnya hanya kerana Allah S.W.T.
Sy tidak b'hrp utk menjadi pengerusi tetapi kita hanya merancang dan Allah yang menentukan.
Allah telah memilih sy utk memimpin persatuan ini dan amanah ini adlh terbesar bg sy kerana ia merangkumi semua pihak.
InsyaAllah,dgn izin Allah sy akn buat yg terbaik.
Doakan perjalanan hidup saya di unia dan di akhirat....
Semoga semuanya berjalan dgn lancar...Amin...
Wassalam...
Wednesday, February 18, 2009
Berpesan,Beri Nasihat Akhlak Orang Beriman
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Agama itu nasihat. Maka sahabat pun bertanya: Kepada siapa? Jawab Baginda: Kepada Allah, kepada Kitab-Nya, kepada Rasul-Nya, kepada pemimpin kaum muslimin dan juga orang awam muslimin.” (Hadis riwayat Muslim)
Lebih menariknya, amalan nasihat termasuk antara amalan penyelamat seseorang daripada terjerumus ke lembah kerugian.
Firman Allah bermaksud:
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-’Asr, ayat 1-3)
Maksud ayat suci itu menyimpulkan antara ciri orang yang beriman kepada Allah ialah sentiasa berpesan atau nasihat-menasihat ke arah kebaikan dan kesejahteraan.
Tidak dapat dinafikan, manusia tidak boleh hidup bersendirian, jauh daripada kelompok masyarakat ramai.
Justeru, hidup bermasyarakat menjamin kerukunan dan keharmonian sejagat. Untuk itu, nasihat menasihat sewajarnya dijulang supaya yang benar dan hak dapat dijunjung tinggi bersama, sementara yang salah dan batil pula sama-sama dijauhi.
Demikianlah hidup bermasyarakat yang seiring jalan sejajar pepatah orang tua ‘duduk seorang bersempit-sempit, duduk ramai berlapang-lapang. Maka, terserlah Islam adalah agama nasihat dan seluruh ruang lingkup Islam adalah nasihat.
Bagaimanapun, ada segelintir manusia yang melenting atau marah apabila diberi nasihat dengan alasan dia insan bijak dan pandai dalam segala bidang. Sedangkan, manusia dengan kesempurnaan kejadiannya dan keistimewaannya, selamanya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan serta kesalahan kerana itu sifat semula yang diciptakan Allah.
Justeru, setiap insan berhajatkan kepada nasihat untuk kembali kepada landasan yang benar dan insaf dengan kekerdilan serta kedaifan manusia itu sendiri di hadapan Allah SWT.
Merujuk kepada hadis berkisar mengenai Islam sebagai agama nasihat, Rasulullah SAW membahagikan nasihat kepada beberapa jenis yang sewajarnya diterapkan penghayatannya dalam rentak kehidupan seharian iaitu:
Nasihat kepada Allah yang melahirkan Muslim bertakwa kepada-Nya.
Setiap Muslim wajib beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman yang tidak terselit sebarang rasa syak dan ragu yang boleh mencacatkan hubungannya dengan Allah.
Pada masa sama, setiap Muslim dituntut patuh dan tunduk kepada segala perintah Ilahi serta menjauhi larangan-Nya.
Lebih penting, pengisian iman dalam sudut jiwa akan menginsafkan setiap insan dari mana dia datang, untuk apa dia hidup di dunia ini dan ke mana pula dia akan kembali.
Iman juga akan menimbulkan kesedaran setiap insan yang bernyawa bahawa sesudah hidup di dunia ini ada lagi kehidupan kekal yang pasti dilalui.
Pendek kata, iman adalah harta tidak ternilai yang wajib diburu dan dijejaki setiap insan di dunia ini supaya berbahagia di dunia dan akhirat. Seterusnya, kecintaan kepada Allah hendaklah mengatasi kecintaan kepada dunia, isteri dan anak.
Nasihat kepada Kitab-Nya pula bermakna menjulang al-Quran sebagai rujukan utama dalam menyampaikan pedoman dan panduan hidup Muslim seharian. Ia mengandungi hukum-hakam, petunjuk serta peringatan kepada orang beriman kepada Allah.
Oleh itu, setiap Muslim dituntut mempraktikkan segala ajaran terkandung dalamnya, tidak cukup sekadar membacanya dan mengetahui hukum-hakamnya, tetapi diterjemahkan dalam kehidupan.
Nasihat kepada Rasul-Nya pula bererti meyakini kebenaran perutusan Rasulullah SAW untuk membawa rahmat untuk alam semesta.
Setiap Muslim wajib menerima segala apa dibawa olehnya sebagai ketaatan mutlak kepada Allah dan berkewajipan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, membanteras segala bentuk bid’ah, khurafat serta ajaran sesat yang bertentangan dengan syarak.
Apabila ada kesepaduan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah SAW, natijahnya seorang Muslim akan dapat mengecapi nikmat kemanisan iman dalam hatinya.
Nasihat kepada pemimpin Muslim pula, kita sebagai rakyat hendaklah memberi sumbangan bermakna kepada kerajaan apabila kerajaan melaksanakan rancangan dan program yang memberi kebaikan serta faedah untuk rakyat.
Sebaliknya, jika pemimpin melakukan sesuatu menyebabkan kehancuran dan kemusnahan kepada negara, maka rakyat berhak menegur serta memberi nasihat yang membina dalam usaha mengelak negara daripada terjerumus ke lembah kebinasaan.
Ini penting bagi menjamin kerukunan, kesejahteraan serta keharmonian kalangan rakyat dengan kerajaan.
Khalifah Abu Bakar al-Siddiq ketika menyampaikan ucapan dasarnya berkata: “Apabila aku melakukan sesuatu yang betul maka bantulah aku, dan apabila aku menyeleweng maka perbetulkan daku.”
Akhirnya, nasihat kepada umat Islam seluruhnya mencerminkan kesatuan hati dan keserasian jiwa orang Islam dalam menelusuri titian hidup penuh pancaroba.
Nasihat ini termasuk dalam segala tindak tanduk dan kegiatan kemasyarakatan supaya ia selari dengan landasan Islam.
Ia merangkumi hubungan institusi kekeluargaan, sesama jiran, masyarakat dan juga dalam pelbagai lapangan hidup manusia.
Ringkasnya, nasihat memainkan peranan penting kerana ia bakal menyuburkan perasaan kasih sayang dan kerjasama yang erat sesama anggota masyarakat bagi mengekalkan kelangsungan masyarakat yang harmoni lagi sejahtera.
Demikianlah indahnya konsep nasihat menasihat dalam Islam yang mencorakkan identiti sebuah masyarakat Islam yang sejahtera lagi harmoni.
Natijahnya, kesatuan ummah dapat dijana di samping pengukuhan iman kepada Allah selain perhiasan ketrampilan akhlak
Islam terukir indah pada keperibadian Muslim. Dengan adunan istimewa ini, barulah umat Islam mampu memartabatkan kembali keunggulan dan kecemerlangan dalam segala lapangan hidup sebagaimana pernah dirintis generasi Rasulullah SAW dan generasi sahabat.
Sunday, February 8, 2009
Valentine's Day?
Hukum Menyambut Hari Valentine
Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67
Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.
Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.
Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”
Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32
Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”
Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)". –Al-Baqarah (2) : 120
Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik". – al-Hijr (15) : 39-40
Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.
Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.
Saturday, February 7, 2009
Tersalah Pilih Sahabat Boleh Bawa Kehancuran
Setiap insan di dunia ini memerlukan teman hidup. Sejak sejarah awal Adam lagi perlukan Hawa dalam kehidupannya. Sahabat ialah teman yang wujud sepanjang kehidupan seseorang.
Sejak zaman kanak-kanak hinggalah ke akhir hayat, sahabat penting dalam putaran kehidupan insan. Ada yang menyatakan sahabat lebih penting daripada wang. Jika kita tiada wang dan mempunyai ramai sahabat, mereka tentu boleh menolong.
“Bersahabat dengan orang yang tidak takut celaan itu sebenarnya lebih tercela.”
Imam Syafie juga menyatakan,
“Tanda persahabatan itu hendaklah menjadi teman terhadap teman sahabatnya dan menjadi musuh terhadap musuh sahabatnya.”
Ada sahabat yang setia dan sentiasa berusaha membawa kebaikan dalam hidup rakannya. Sahabat sebeginilah adalah sahabat sejati. Sementara ada sahabat yang hadir ketika gembira dan membawa ke arah keburukan. Jauhilah sahabat seperti ini.
Ramai tidak menyedari kepentingan bersahabat. Ia dianggap sebagai suatu kebetulan yang hadir silih berganti. Sebenarnya kawan dan sahabat ada peranannya sendiri.
Sahabat biasanya datang daripada lingkungan usia hampir sama, alam persekolahan, minat dan masalah yang dihadapi juga serupa. Sahabat juga biasanya mempunyai minat dan kecenderungan yang sama.
Biasanya bagi remaja, apabila timbul masalah membabitkan persekolahan dan peribadi, sahabatlah tempat mencurahkan isi hati. Kebiasaannya, masing-masing akan mencurahkan masalah, mengeluarkan pendapat dan menjadikan persahabatan semakin akrab.
Sahabat karib biasanya mempunyai personaliti hampir sama. Remaja yang bijak dan berpandangan jauh akan memilih sahabat karib di kalangan remaja mempunyai kebolehan lebih daripadanya dalam bidang akademik.
Keadaan itu boleh membantu memajukan personaliti atau diri seseorang. Membuang sikap yang tidak disukai dalam melakukan sesuatu yang disenangi kedua-dua pihak akan menjadikan seseorang itu lebih sesuai dalam menjalin persahabatan.
Seorang sahabat baik mestilah sentiasa menjaga adab ketika berbicara dengan sahabatnya, berlemah lembut, berbuat baik, bersifat warak, bersikap benar dan membuat kebaikan kepada sahabat.
“Hai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Hujurat, ayat 13)
Menjalin persahabatan baru bermakna membentuk ikatan persaudaraan. Rapatnya hubungan antara rakan memupuk rasa sayang seperti keluarga sendiri.
Malah, di kalangan remaja lebih mengambil berat mengenai sahabat berbanding anggota keluarga sendiri terutama yang merantau di tempat orang. Sudah tentulah sahabat menjadi orang paling hampir untuk mencurahkan masalah dan mengadu nasib.
Kajian mendapati persekitaran juga mempengaruhi kesan persahabatan iaitu keadaan fizikal, iklim, sosiobudaya, politik dan interaksi antara manusia serta dengan alam sekitar. Persekitaran termasuk alam sekeliling sebelum dan selepas seseorang itu dilahirkan.
Sahabat dan teman berbeza kerana sahabat orang paling akrab dan hubungan ibarat ahli keluarga menyebabkan mereka bersedia membantu pada bila masa sementara teman tidak banyak tahu mengenai kita.
Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan pekerjaan harian selalunya tidak berkesempatan mengenali siapakah teman baik anak mereka. Sering terjadi ibu bapa tidak mengetahui anak mereka terbabit dengan orang tidak sepatutnya hinggalah sesuatu terjadi pada anak mereka.
Ibu bapa perlu ingat salah satu sebab anak menjadi degil dan sering melawan cakap orang tua adalah kerana mereka bosan dengan sikap ibu bapa yang tidak pernah memberi perhatian diharapkan.
Friday, February 6, 2009
Nasihat Hidup Bahagia
Thursday, February 5, 2009
Perihal Orang Mukmin & Orang Munafik
Sunday, February 1, 2009
Sahabatku, Jalan ini Bukan Mudah. Aku Bersamamu.
Aku mencintaimu kerna Rasulullah memerintahkan aku mencintaimu. Ya,tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.
Sahabatku yang sangat aku cintai..
Sungguh,jalan yang kita lalui ini bukan jalan yang indah dan mudah. Jalan ini matlamatnya cantik dan mengkagumkan.Tapi, sungguh tidak dapat aku janjikan kepadamu jalan ini akan senang kau lalui. Bukankah sejarah membuktikannya, haq yang ingin dibawa tentu sekali akan ditentang.
Sahabat..
Bukankah dalam kita berdiskusi, seringkali kita ingatkan pejuang yang telah lama terkorban dulu? Sheikh Hassan Al Banna,ditembak di pasar. Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq! Syed Qutb,nyawanya tercabut menemui Rabb nya di tiang gantung? Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq. Sheikh Ahmad Yassin dibunuh dengan misil yahudi laknatullah di hadapan masjid di subuh yang hening. Kerna apa? Kerna dia juga membawa yang haq!
Amanah ini untuk kita,sahabatku.Amanah ini untuk orang seperti kalian. Bukanlah aku ingin menggoyahkan semangat wajamu dan bahkan tidak sesekali. Tetapi sahabat,yang pasti ingin aku ingatkan janji Allah terhadap orang yang menolong agamanya, Allah pasti akan membantu urusannya. Aku ingin ingatkanmu kasih sayangNya dan rahmatNya terhadap hamba yang diredhai Nya. Bukankah senang nanti bila Allah tanyakan kepada kita: Apa yang kau gunakan masa mudamu dan aku dan kau serentak menjawab :Ya Tuhanku, Ya Rabb, masa mudaku dan masa tuaku adalah aku letakkan pada jalanMu. Adalah untuk Kau. Hanya untuk hidup dalam redhaMu walau kami ditekan. Untuk hidup dalam cinta kami kepada Mu.
Sahabat...
Peluru, tali gantung, pedang yang tajam, bahkan tekanan yang kuat dari pengalaman kehidupan sememangnya boleh melemahkan sesiapa sahaja. Tapi bukan engkau. Engkau dibina dengan tarbiyah. Dihiasi keindahan akhlak. Dilahirkan sebagai pendukung agama ini. Biar siapa sahaja pun engkau, biar apa sahaja kata orang,kau terus menguatkan langkah menyusur jalan in. Aku yakin,kerna kau sahabatku.
Sahabatku yang dikasihi..
Tidak dapat aku janjikan kesenangan dan kemewahan mengikut jalan ini. Tidak dapat aku berikan nama dan pangkat. Tapi akan ku tawarkan yang lebih baik dari segala itu. Akan kuberikan doaku semoga kau teguh dalam jalan ini .Akan ku bersama kau melangkah membawa haq dalam jalan ini. Akan aku luka dan berdarah bersama kau. Kerna kita saudara yang saling mencintai kerna Nya.
Sungguh aku bersama mu.
Tulus,
Sahabatmu tercinta